Pemimpin-pemimpin PAS kebelakangan ini menjadi sedikit kurang cerdik. Bermula dengan isu Mustapha Ali dan Tok Guru Nik Aziz, kini Khalid Samad memperhangatkan kembali hal lama.
Saya tidak pasti adakah temubual Khalid Samad dengan Ummahonline.com berlaku selepas Mustapha Ali bertemu Tok Guru Nik Aziz atau sebelumnya. Tetapi yang pasti Malaysiakini baru menghangatkannya.
Umum sudah mengetahui bahawa 16hb September telah berlalu tanpa sebarang pertukaran kerajaan. Jadi maknanya, analisis Mustapha Ali itu betul. Kesalahannya bagi saya adalah meletakkan pendapat peribadinya di muka hadapan Harakah. Itu saya rasa agak terlebih penyalahgunaan kuasa sebagai Pengarah Urusan Harakah.
Tetapi temubual Khalid Samad dengan UmmahOnline.com ini lebih tertuju pada peribadi dan bukannya isu yang diutarakan iaitu adakah Anwar berjaya menubuh kerajaan atau tidak. Khalid Samad telah melencong jauh dari persoalan sebenar dengan menyatakan Terengganu kalah kerana aktiviti “mengharamkan”.
Saya tidak bersetuju dengan Khalid Samad kerana PAS Kelantan lebih teruk dalam bab haram-mengharam ini. Apa yang diharamkan di Terengganu, yang tidak diharamkan di Kelantan? Judi? Konsert? Arak?
Jadi kenapa PAS Terengganu tewas tetapi PAS Kelantan menang? Sahih Khalid Samad salah dalam congakan beliau. Bukan sebab itu Terengganu kalah.
Bukan juga sebab faktor pimpinan dan calon. Jika kerana pimpinan, mengapa Tuan Guru Hadi Awang menang di DUN dan Parlimen? Jika kerana calon Terengganu yang tidak berkualiti, mengapa Mohd Sabu juga tidak menang padahal beliau bukan pun berasal dari Terengganu?
PAS menang pada pilihanraya ke10, bukanlah kerana kekuatan PAS, tetapi orang Melayu pada waktu tersebut memprotes kezaliman ke atas Anwar. Kekalahan pada pilihanraya ke11 bukan sahaja menimpa Terengganu, malah Kelantan juga hampir jatuh. Apatah lagi jika mahu dibandingkan dengan Selangor?
Kekalahan Terengganu pada pilihanraya ke12 pula, bukanlah kerana sebab lain tetapi kerana Terengganu mempunyai majoriti yang besar Melayu yang menyokong totok UMNO, tidak seperti Melayu Kelantan yang totok PAS. Jika Selangor juga berpopulasi seperti Terengganu, Khalid Samad jangan bermimpi mahu menjadi MP. Khalid Samad menang hanya kerana swing undi bukan Melayu. Undi bukan Melayu di Terengganu terlalu sedikit. Berpadanankah untuk dibuat perbandingan?
Sampai bilakah pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mahu menyedari hakikat kejayaan “lebih kuah dari sudu” ini? Bilangan MP parti PKR iaitu tunjang utama Pakatan pun tidak menyamai bilangan separuh dari bilangan MP UMNO. Tidakkah mereka ini sedar?
Lagi, apakah sebenarnya kejayaan PAS Selangor? Ladang babi tahap mega? Pengharaman Islam Hadhari? Cerminlah diri!